Cart 0
n1.png

Mental

RM 20.00 RM 25.00


SIANG itu dia keluar ke bandar untuk mengisi perut dan membeli burger McD untuk dibawa balik ke rumah. Beli untuk bekalan diri sendiri sahaja. Makanan untuk Zafiah tidak perlu kerana perut Zafiah seeloknya dibiarkan kosong dua tiga hari sebelum kematiannya.
Sebelum balik ke rumah, dia membeli minyak masak di dalam plastik di kedai runcit. Di rumah memang tidak ada stok kerana dia memang tidak pernah memasak sejak berpindah ke rumah baharunya itu.
“Satu je ke, bang?” tanya gadis manis di kaunter pembayaran.
“Satu,” jawab dia, sepatah.
“Cukup ke?”
“Lebih dari cukup,” jawabnya, kurang senang disoal banyak-banyak oleh gadis itu.
“Abang nak masak apa?” soal gadis itu lagi. Ramah.
“Goreng telur je.”
Gadis itu tersenyum lebar. Dia membayar harga minyak masak itu dan terus keluar dari situ.
Semasa mengundurkan keretanya, dia melihat gadis itu melambai ke arahnya. Dia merengus risau, menyesal memarkirkan keretanya betul-betul di hadapan kedai itu. Selepas ini dia tidak boleh pergi ke kedai itu lagi, desis hatinya.
Setibanya di rumah, dia memeriksa Zafiah dahulu. Zafiah sudah sedar. Pintu bilik hujung kembali ditutupnya. Minyak masak diletakkan di atas meja dapur. Pakaiannya dibuka. Rumah itu jadi panas sejak dia menggantungkan berpuluh-puluh langsir plastik. Udara dingin dari pendingin hawa tidak bergerak.
Duduk di meja kerjanya, dia membuka komputer riba, melayari Facebook. Merekah senyuman bila dia membaca kisah penculikan Zafiah yang semakin rancak diperbualkan oleh warga internet. Kebanyakannya meneka kesalahan yang telah Zafiah lakukan dan jenis penderaan yang sedang Zafiah alami. Sadis betul pemikiran mereka.
“Tunggu lagi beberapa hari, semua soalan korang tu aku jawab,” kata dia, perlahan.
Dinding Facebook Wafiy Alias dicari. Sudah ramai Follower Wafiy Alias sekarang. Hampir sepuluh ribu orang. Kalau Wafiy Alias buka oder, jual barang, pasti laku keras. Status pertama Wafiy Alias untuk hari itu, dibacanya.

Gais, doakan keselamatan Zafiah Auliya. Aku tahu, ramai tak yakin kita akan dapat dia hidup-hidup tapi kita berdoa aje, gais. Allah Maha Kaya dan Maha Berkuasa. Sekaranglah masanya kita meminta keajaiban daripada Allah. Mari kita berdoa ramai-ramai, gais.

Komen-komen pada status itu pula dibaca. Ramai yang berdoa tetapi nampak sangat doa mereka tidak ikhlas. Doa kena ikhlas, barulah dimakbulkan. Beberapa orang pengomen bertanyakan soalan-soalan bodoh dan menjadikan kecelakaan orang lain sebagai bahan lawak.

Komen ke 102 : Agak-agak koranglah, apa seksaan yang Zafiah Auliya terima? Kerat jari sudah, cucuk jarum pada kuku sudah, jahit mulut sudah, rembat hati sudah.

Komen ke 333 : Cuba teka kesalahan yang Zafiah Auliya lakukan? Tekaan yang betul akan menerima hadiah istimewa daripada Tukang Jahit iaitu jarum dan benang.

Komen ke 400 : Jahit mulut tu signature dia. Aku rasa kat tubuh badan Zafiah Auliya nanti, mesti penuh dengan kesan jahitan.

Komen 473 : Aku rasa Si Tukang Jahit ni dulu nak jadi doktor tapi tak pas. Sebab tu dia buat cenggini.

Komen 477 : Dia nak jadi doktor bedah siasat kut. Doktor bedah biasa tak bunuh orang.

Komen 786 : Aku tak sabar nak baca nota yang dia letak kat dalam mulut mangsa.

“Haih, kelakar betullah korang ni. Lebih kelakar daripada Maharaja Lawak. Sabarlah. Banyak lagi benda yang aku belum buat kat Zafiah. Selesai nanti, korang tahulah apa kesalahan dia.” Dia tersengih-sengih seorang diri. Status Wafiy Alias yang seterusnya dibaca.

Surat Terbuka Untuk Tukang Jahit

Aku rasa aku menulis bagi pihak rakyat Malaysia kut. Aku merayu kat kau, Tukang Jahit, kembalikan Zafiah Auliya kepada keluarganya dengan selamat. Serah diri kau pada polis. Aku rasa kau ni sebenarnya nak minta orang tolong kau tapi selama ni orang tak pedulikan kau. Sebab tu kau culik dan bunuh orang. Bro, sekarang aku nak tolong kau. Nama aku Wafiy Alias. Aku nak kau contact aku melalui FB ni. Aku nak tolong kau, bro. Aku nak kau berhenti melakukan dosa. Insaflah, bro. Bertaubatlah sementara masih sempat.

Tersirap darahnya bila membaca ayat terakhir Wafiy Alias. Ayat itu sebiji macam ayat yang Wafiy Alias tuturkan dalam mimpinya. Dia sedang bermimpikah sekarang ini? Serentak, tangannya naik ke muka, menempeleng pipi sendiri.
“Aduh…” Dia mengaduh.
Ternyata, dia tidak bermimpi tetapi ayat itu membuatkan dia berasa seram sejuk.
Cabaran Wafiy Alias itu dibacanya berulang kali. Sejenak berfikir, akhirnya dia membuat keputusan untuk membuka satu lagi akaun Facebook. Nama yang digunakannya ialah Wafiy Alias II. Padan muka Wafiy Alias. Cabar dia lagi!
“Kau tunggu. Lepas aku uruskan Zafiah, aku akan contact kau!” katanya, marah-marah.
Tidak suka dengan perasaan yang dirasainya, dia menutup komputer riba itu. Dia duduk di atas kerusi panjang. Tidak kena, dia berbaring pula. Masih tidak kena. Mendengus-dengus, dia bangun lalu pergi ke bilik tidur. Tubuhnya direbahkan di atas katil. Lengan melintang di atas dahi. Dia tidak ada rasa hendak menonton tv. Hendak tidur pun mata tidak mengantuk. Jarinya terkuit-kuit semasa dia memikirkan tentang Wafiy Alias, membayangkan bentuk penderaan yang sesuai dengan lelaki yang gilakan populariti itu.
“Kurang kasih sayang kau ni, Wafiy Alias.” Dia tergelak sendiri. Habis ketawa, dia berasa sedih tanpa punca. Air mata bergenang. Mulutnya terkulat-kulat menahan rasa.
Terganggu dengan perasaan itu, akhirnya sebiji ubat tidur terpaksa ditelan.