Cart 0
zzz1.png

Kontra Yang Menyatukan

RM 21.60 RM 27.00


Puting beliung yang melanda Nebraska bukan sahaja telah memusnahkan ladang Darrel Hayes, tetapi telah membuatkan hidup Azalea Huda tunggang-langgang. Di celah deretan tanaman ladang yang dapat diselamatkan itu, Azalea berkenalan dengan Darrel, si peladang gagah. Namun, di antara Darrel dan Azalea, langsung tiada persamaan. 

Azalea Melayu Islam. Darrel Yahudi Judais. Azalea tidak pernah bercinta. Darrel seorang kasanova. Azalea tidak suka mengambil hak orang lain. Darrel pula menjadikan mencuri sebagai pekerjaan keduanya. 

Manisnya mulut si peladang bermain kata membuatkan Azalea sanggup mengenepikan sisi gelap si pencuri licik. Dia tahu perbezaan mereka yang terlalu ketara akan menjadi penghalang, namun yang kontra itulah menjadi tarikan. 

“Kau tahu tak, Azalea ialah sejenis bunga yang beracun? Madu dari bunga Azalea dipanggil ‘mad honey’. Aku nak panggil kau apa ni? ‘Honey’ boleh?” -- DARREL HAYES

“Kawan-kawan panggil Leia. Macam Princess Leia dalam Star Wars.” -- AZALEA HUDA 

Ketika hubungan mereka semakin mesra, Darrel menerima tugasan mencuri satu artifak dari muzium di Istanbul. Artifak itu dipercayai mampu menguatkan lagi kepercayaan Darrel terhadap agama nenek moyangnya. Leia pulang ke Malaysia dengan harapan yang berkecai kerana gagal menghalang Darrel. Mereka terpisah dan Darrel hilang dari radar. 

Kemunculan Darrel kali kedua seperti puting beliung yang membolak-balikkan perasaan Leia. Darrel mahu Leia kembali kepadanya. Tapi Leia sudah memakai cincin pertunangan Amin Zafri. Namun bagi Darrel, tidak ada bezanya mencuri barang muzium dengan mencuri hati seorang wanita dari tunangannya. 

“Eh! Kau ni siapa? Tiba-tiba datang nak rampas tunang orang.” -- AMIN ZAFRI

“Kalau orang ketiga itu perempuan, kita gelar dia perampas. Tapi kalau orang ketiga itu lelaki, kita kata dia seorang pencuri profesional.” -- DARREL HAYES

Semudah itukah Zafri melepaskan Leia, setelah lima tahun dia cuba memiliki gadis itu? Benarkah mencuri secebis hati milik gadis yang sudah ada tuannya lebih mudah dari mencuri artifak dari muzium? Apa yang terkandung di dalam artifak itu, sehinggakan Darrel sanggup mengenepikan Leia? 

Di sebalik semua kontra yang wujud di antara mereka, bolehkah Darrel dan Leia akhirnya bersatu?