Cart 0
1488054143_2540962_z

Dakapan Memori

RM 23.20 RM 29.00


DI McDonalds Wangsa Maju itu tempat Syakir dan Taufiq melepak. Gelak ketawa sampai lewat petang di meja luar. Indahnya kalau hidup berterusan begitu. Kadang-kala di situ juga tempat Syakir ambil peluang mengurat pelajar junior yang singgah makan. Puntung rokok dah semakin pendek. Dia buang ke lantai lalu dipijak.
                “Wei Syakir, kenapa Sha tak datang sekolah hari ni?”
                Syakir jongket bahu.
                “Tak tahu. Semalam Auntie Shazwin bagitahu dia tak sihat. Tapi tak apalah, ini kira peluang aku nak tackle budak junior.” Syakir tergelak kecil. Taufiq tepuk bahu sahabatnya.
                “Untunglah kau, kan?”Taufiq buat muka cemburu.
                “Kenapa?” Sebelah kening terangkat.             
“Yalah, kau rapat dengan Sha. Sampai semua orang dah tahu yang kau akan kahwin dengan dia. Mak ayah kau siap dah pasang niat awal-awal nak jadikan Sha menantu.”
                Sahabatnya buat muka toya. Alahai, cakap orang tuanya bukan boleh pakai sangat pun. Walaupun Syakir memang sukakan Fatesha tapi soal kahwin, tolak tepi dulu. Umurnya yang masih muda, membuatkan dia perlu bersedia dengan pelbagai lagi perkara. Namun, harap-harap kisah cintanya dengan Fatesha kekal lama. Syakir sengih sendiri. Air Coca Cola disedut.
                “Wei, apa kau mengarut ni? Aku dengan Sha membesar sama-sama. Memang tipikal lah orang akan kata kita orang akan kahwin sampai besar. Macam tu jugaklah dengan ummi dan abah aku. Dia orang main cakap je Sha tu jodoh aku. Padahal dia orang tak hairan pun aku nak kahwin dengan siapa.” Syakir mula berkerut. Dia teringat akan kisah yang Datin Filzah beritahu semalam. Tentang Puan Sri Ruziah.
                “Walawei! Takkan ummi kau senang-senang je tak hairan? Fatesha tu ramai peminat. Ini baru sekolah menengah tau. Kalau esok-esok dah habis sekolah, boleh jadi lelaki beratur depan rumah dia. Silap-silap, aku antara lelaki yang berbaris tu.”
                Syakir geleng. Entah mengapa gurauan Taufiq itu sikit pun tak beri apa-apa kesan di hatinya.
                “Simpanlah angan-angan ke laut tu. Fatesha takkan pandang kau selama-lamanya. Dahlah, jauh lagi perjalanan nak ke pelamin tu. Baik enjoy.”
                Taufiq agak sentap. Fatesha takkan pandang dia sampai bila-bila? Hurmm, Fatesha tu bukan main susah nak dapat. Gadis itu hanya memegang prinsip ‘takkan berpisah dengan Syakir’. Jadi, prinsip sebegitu membuatkan jiwa Fatesha tegar menjadi ‘milik’ Syakir selamanya. Taufiq hela nafas. Kecewa. Fatesha tak pernah pandang wajahnya. Matanya mengerling Syakir yang diam seakan sedang fikirkan sesuatu.
                “Woi!” bahu lelaki itu ditepuk. Syakir terhentak dari lamunan.
                “Kau fikir apaaa??”
                “Tak ada apa. Semalam, ummi aku ada cerita kat aku fasal Puan Sri Ruziah.”
                “Puan Sri Ruziah??”
                Syakir angguk.
                “A’ah. Ummi aku cakap anak Puan Sri tu tinggal dengan orang gaji dia sekarang. Nama anak dia Afiya. Tapi aku tak berapa camlah dia yang mana satu.”
                Taufiq senyum nipis. Kentang goreng dia masukkan dalam mulut. Benaknya hairan juga. Mengapa Puan Sri Ruziah biarkan anaknya? Ah! Lantak. Itu hal rumah tangga orang. Tak usah sibuk. Langit petang ketika itu terik sekali. Taufiq sedut minumannya.
                “Dahlah. Benda tu tak payah ambil tahu. Tu masalah keluarga orang Syakir. Ni, apa plan malam ni? Tak ada nak cadang lawat Fatesha kat rumah dia ke? Boleh aku ikut sekali.” Taufiq memang hebat mengayat.
                “Amboi. No! Biar aku je yang pergi jenguk dia. Sha tu aku punya. Kau pergilah cari perempuan lain.”
                “Hek eleh, poyo!” Puntung rokok dikeluarkan dari saku seluarnya. Sambung sedut asap yang bakal merosakkan jantungnya itu.
Syakir intai jam di pergelangan tangan. Lima setengah petang! Mampus.
                “Taufiq! Dah lima setengah beb! Jom balik…jom balik!” Terkocoh-kocoh Syakir habiskan makanannya. Lima setengah itu dah kira lewat petang. Berborak sakan sehingga terlupa masa yang bergerak. Lagak lipas kudung Syakir menelan air, tiba-tiba…
                Pon! Pon! Pon! Aduh! Syakir pandang kelilingnya. Jantungnya berdebar-debar. Sebuah kereta BMW milik ibunya betul-betul melintasi bangunan McDonalds itu. Syakir menepuk dahi! Ciss
                “Ayooo, itu Datin sudah mariii!” Mengekek Taufiq ketawa. Syakir buat tak endah. Bahu Taufiq ditolak. Lekas dia melangkah menuju ke kereta. Wajah Datin Filzah jelas hampa. Syakir buat muka selamba.
                “Okey, Fiq jumpa esok kat sekolah.”
                Taufiq angguk. Dia sambung hisap rokok seorang diri. Syakir agak cuak apabila tangannya menarik pintu kereta. Sebaik sahaja dia membolos masuk ke dalam perut kenderaan itu, ibunya memecut laju. Wajah Datin Filzah sedikit pun tak dipandang.
                “Syakir merokok lagi?” Itu saja soalannya. Datin Filzah mengawal stereng. Syakir sekadar diam. Bengang pun ada.
                “Jawab!”
                “Hurmm.”
                Datin Filzah toleh ke sebelah kiri. Lantas dia kurniakan satu hadiah ringan buat anaknya yang degil itu. Satu cubitan singgah ke lengan Syakir. Anak lelakinya berkerut menahan perit.
                “Ummi dah kata jangan merokok! Kenapa degil sangat ni? Ummi dah kata, cari kawan yang baik-baik. Jangan cari kawan yang ajak buat benda bukan-bukan.”
                “Mana ada Syakir cari kawan yang bukan-bukan.” Mukanya mencuka. Lengannya digosok-gosok. Matanya tertumpu pada pemandangan di luar. Deru nafasnya berbau asap. Datin Filzah kurang selesa. Tingkap kereta diturunkan. Sekilas raut Syakir dipandang. Jiwanya sering tersinggung dengan sikap anaknya yang seorang itu.
                “Syakir tak kesian kat ummi ke?”
                “Apanya ummi?”
                “Ummi tak suka Syakir jadi macam ni. Bila nak berubah? Awak tu dah tujuh belas tahun. Sepatutnya dah berakal tahu? Apa yang tak cukup lagi Syakir? Ummi ni tak cukup ajar anak ummi ke?” Sepasang keningnya berkerut. Ada garis kerutan di dahinya. Syakir garu-garu kepala. Entahlah. Dia tak sanggup salahkan ibunya. Tetapi, inilah jiwa remaja. Ingin lakukan sesuatu yang baru.
                “Abah mesti kecewa dengan perangai kamu. Sebab kawan dengan budak-budak yang tak baik.”
                “Ummi, berapa kali Syakir nak beritahu ummi? Syakir kawan je. Itu pun salah ke? Semua orang boleh berubah. Ummi janganlah kalut sangat.”
                “Ooo… jadi maksud Syakir, biarlah kawan tu jahat? Nanti esok-esok dia berubahlah? Gitu? Ummi tak cakap yang seseorang tu tak boleh berubah. Memang semua orang boleh berubah tapi ummi tak nak ambil risiko. Kalau apa-apa jadi kat anak ummi, siapa yang susah? Syakir mungkin tak rasa apa yang ummi rasa. Tapi sebelum apa-apa berlaku, lebih baik jauhkan diri daripada kawan-kawan yang merosakkan. Tolong, Syakir. Bagi kerjasama dengan ummi. Tu je ummi minta.” Panjang lebar Datin Filzah berhujah. Dia tak peduli andai anaknya memberontak dalam diam. Syakir amanahnya yang paling besar untuk diutamakan. Sebagai ibu, dia berhak campur tangan urusan Syakir.
                Anak lelakinya menggumam geram. Apa yang dia buat semuanya salah. Ada saja yang tak kena. Di celah mana perbuatannya yang ‘sempurna’ dan boleh ‘diterima’ oleh kedua ibu bapanya?
                “Tengoklah dulu, mi.”
                “Tengoklah? Okey. Syakir cabar ummi. Tengok jugaklah nanti apa yang ummi akan buat. Jangan marah ummi kalau ummi cakap fasal ni kat abah.”
                Syakir diam. Hajat di hati ingin mengubah topik.
                “Ummi, malam ni kita pergi rumah Auntie Shazwin, eh? Nak jumpa Sha. Hari ni dia tak pergi sekolah. Demam.”
                Datin Filzah jenguk raut Syakir di sebelah. Sebaris nafas berat dihela. Lambat-laun dia angguk. Lengan Syakir yang dicubit tadi, diusap semula. Syakir senyum kecil. Tangan ibunya dibawa dalam genggaman.
 
               
DEMAM awak dah pulih?” Syakir duduk di birai katil. Fatesha yang sedang bersandar itu tersenyum. Gadis itu angguk. Senang sangat hati apabila ada yang sudi melawatnya. Lelaki di depannya balas senyumannya. Sama-sama tersenyum, terasa berbunga-bunga perasaan malam itu.
                “Dah semakin surut. Susah-susah je awak datang. Macam mana kat sekolah tadi?”
                “Okey je. Tapi bosan sikitlah.”
                “La, kenapa?” Fatesha jongket kening. Matanya menatap tepat ke wajah kacak Syakir. Lelaki seusianya itu memang menjadi tarikan pelajar yang lain. Syukurlah, Syakir hanya pandang dia seorang. Dia satu-satunya kawan perempuan yang Syakir rapat.
                “Sebab tak ada awaklah. Cepat-cepatlah sembuh. Awak buat saya rindu.”
                Datin Filzah yang sedang berborak dengan Datin Shazwin di sofa kamar tidur Fatesha terdengar. Ada kerutan di dahi ibunya namun ada tawa di bibir Datin Shazwin.
                “Awak ni cakap kuat sangat. Habis ummi dan ibu saya ketawa.”
                “Biarlah. Apa yang nak dimalukan? Betullah. Saya rindu awak. Bosan tau melayan Taufiq tadi. Kalau ada awak best sikit.Hee…”
                “Isy!” Fatesha tepuk bahu Syakir.
                “Okey… okey. Tak nak cakap kuat-kuat dah. Sha, minggu depan jadi tak nak pergi hangout dengan budak-budak kelas? Lagipun tinggal beberapa hari je lagi Sha zaman sekolah nak habis.”
                Fatesha senyap. Nafas ditarik. Dia mendekati Syakir.
                “Nanti Sha bincang dengan ibu dulu. Takut ibu tak bagi. Kadang-kadang rasa jadi remaja lama-lama pun tak syok jugak. Macam kena kongkong. Kita tak boleh buat ikut suka hati kita.” Mukanya tawar.
Syakir angkat dagunya.       
                “Sabarlah sikit, eh. Tak lama dah. Lepas ni kita boleh hidup bebas. Sekarang ni, memang payah sikit. Tapi kalau kena cara, boleh je.”
                “Maksudnya?”
                Syakir dekatkan sedikit telinganya di cuping telinga Fatesha.
                “Kena degil sikitlah. Pujuk jugak ibu tu supaya bagi ‘chance’.” Dia menghasut. Syaitan di sebelah gembira.
Fatesha membatu. Senyum tak, masam pun tak. Perlahan-lahan dia mengangguk. Jemarinya mula merayau ke tangan Syakir. Sesekali matanya intai imej Datin Shazwin yang sedang khusyuk berborak. Mujur, orang tuanya tak nampak gelagat mereka. Syakir membalas sentuhan tangan lembut itu.
                “Syakir, malam semalam ibu ada tunjukkan kat saya sesuatu.”
                “Apa?”
                Fatesha mula buka laci di meja sisi. Sekotak baldu merah berbentuk hati dibuka. Fatesha tersengih lebar.
                “Ibu kata, nanti bila saya dah nikah dengan awak, baru boleh pakai cincin ni. Tiba-tiba saya jadi tak sabar nak kahwin. Ini antara cincin yang paling mahal yang ibu beli. Saya dah janji dengan ibu yang saya akan simpan cincin ni sampai tiba masanya nanti.”
                “Wah!” Syakir terpegun akan kecantikan objek itu. Dalam terpegun begitu, jiwa lelakinya tertanya juga bersediakah dia mahu berkahwin di usia yang terlalu awal? Dah bersediakah dengan segala tanggungjawab sebagai ketua keluarga kelak? Itu semua sangat menggerunkannya. Bibirnya masih setia senyum.
                “Cantikkan? Saya suka pilihan ibu. Termasuklah pilihan ibu yang berada dekat di sisi saya sekarang.”
                Syakir tak berkata apa-apa melainkan raut Fatesha sahaja yang diratah. Jiwa mudanya kian terbuai. Terbuai dengan pujuk rayu si cantik Fatesha. Imannya benar-benar goyah. Haih! Beginikah kerenah remaja zaman moden?
                “Tapi macam awal sangatlah nak sembang fasal kahwin. Kita sekolah pun tak habis lagi. Eh, dahlah. Kalau ini harapan awak, kita tunggu jelah. Harap-harap kekal hubungan kita, kan?” Syakir ketawa kecil.

 

Begitu juga Fatesha. Mereka saling bertaut pandangan bersama hati yang berbunga-bunga.