Cart 0
fd.png

CINTA TAKKAN TERHENTI

RM 20.80 RM 26.00


“Emak, masalahnya kenapa Wiya, mak? Wiya tak mahu. Hilang akal apa nak berkahwin dengan abang ipar sendiri? Ei, gelilah mak!” Terjongket-jongket bahu Wiya dibuatnya. Menggambarkan rasa geli yang bukan sedikit. Bukan sahaja geli, malah ngeri bila membayangkan yang dia bakal serumah, sebilik, malah sekatil dengan Khaled. Hish, minta dijauhkan!

Macamlah sudah pupus kaum lelaki dalam dunia ni. Abang Khaled itu jugalah yang emak mahu pasangkan dengan aku. Macamlah aku ni tak laku sangat. Hei, aku pernah ada teman lelakilah! Tapi, itu dulu. Sekarang… hurm, malaslah nak cerita!

“Mana lagi kamu nak cari lelaki sebaik Abang Khaled kamu tu? Kamu lihat sendirilah macam mana cara layanan dia pada arwah kakak kamu dulu. Kerja-kerja rumah pun dia tak kesah nak buat, kakak kamu masa tengah mengandung, langsung tak dibenarkan buat apa-apa kerja. Emak ni bukan apa Wiya, emak kalau boleh, tak mahulah cucu-cucu mak tu dijaga oleh orang lain yang kita tak tahu hati budinya. Anak saudara kamu tu kecil lagi, masih dahagakan perhatian dan kasih sayang seorang ibu.”

“Emak, pandai-pandailah Abang Khaled tu pilih jodoh yang terbaik untuk dia. Emak tak payahlah nak risau sangat. Abang Khaled tu bukannya budak yang baru acah-acah nak cari girlfriend. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk dia dan anak-anaknya. Ini emak sibuk aje nak jadi telangkai. Ada hati nak buka agensi mencari jodoh agaknya. Berdosa mak, orang tu dah nak bertunang pun, mak pula macam nak jadi kontraktor yang nak runtuhkan tiang masjid yang bakal dibina.”